10:42 AM -
Artikel
Cinta yang Sebenar benarnya...
Cinta... Semua orang pernah merasakannya dan berbagai macam pula cara kita menanggapinya. Ada yang senang ada yang bahagia, ada yang sedih adapula yang tersakiti. namun cinta itu yang sebenar benarnya adalah cinta yang menentramkan hati. Ketika kita salah menjatuhkan cinta dan meletakkan hati kepaada manusia maka cinta yang datang bukanlah cinta yang menenangkan atau menentramkan. Kadang kita juga tidak bijak dalam mencintai seseorang, hingga cinta itu menjadi sebuah cinta yang berlebihan..
Seperti yang dikatakan Sahabat Ali Bin Abi Thalib..
Dari Ubaid Al Kindi
berkata,
سمعت عليا يقول لابن الكواء هل تدري ما قال الأول أحبب حبيبك هونا ما
عسى أن يكون بغيضك يوما ما وأبغض بغيضك هونا ما عسى أن يكون حبيبك يوما
ما
"Aku mendengar Ali berkata kepada Ibnul
Kawwa, 'Apakah engkau tahu
apa yang dikatakan yang pertama?.' "Cintailah orang yang engkau cintai dengan sewajarnya, karena
mungkin ia akan menjadi orang yang engkau benci suatu hari nanti. Bencilah orang
yang engkau benci dengan sewajarnya, mungkin ia akan menjadi kecintaanmu suatu hari nanti."
Dari Aslam dari Umar bin Khaththab berkata:
لا يكن حبك كلفا ولا بغضك تلفا فقلت كيف ذاك قال إذا أحببت كلفت كلف
الصبي وإذا أبغضت أحببت لصاحبك التلف
"Janganlah cintamu menjadikan keterlenaan
bagimu, dan jangan pula kebencianmu menjadikan
kehancuran bagimu." Aku berkata, "Bagaimanakah itu?" la berkata, "Bila engkau
mencintainya, maka engkau mencintainya sampai engkau terlena seperti layaknya
seorang anak kecil, dan bila engkau membenci, engkau menginginkan kehancuran
baginya."
maka .. cinta yang sesungguhnya yaitu...
Dua kalimah syahadah adalah bukti bahawa cinta kepada Allah dan
Rasulullah s.a.w. tidak terpisah. Cinta Allah itu tujuan, cinta
Rasulullah itu jalan. Tidak mungkin tercapai tujuan “lailahaillallah”
tanpa mengikut jalan “Muhammad Rasulullah.”
Keyakinan kita kepada Allah adalah atas curahan ilmu, didikan,
bimbingan dan pimpinan Rasulullah. Justeru, Rasulullah itu manusia biasa
yang sangat luar biasa. Baginda tidak dididik oleh manusia, tetapi
dididik oleh Allah s.w.t.
Kata-katanya tidak pernah sia-sia melainkan terpandu segalanya oleh
wahyu. Allah berfirman yang bermaksud: “Rasulullah tidak berkata
melainkan wahyu Allah.” (Surah al-Najm 53: 3-4)
Jika hati mencintai kebaikan, maka butalah hati itu jika tidak
mencintai Rasulullah… kerana Bagindalah insan terbaik dan paling banyak
menabur kebaikan. Jika hati mencintai keindahan, maka matilah hati itu
jika tidak jatuh cinta kepada keindahan Rasulullah; senyuman, sapaan,
teguran, bujukan, bahkan marahnya sekalipun tetap indah.
Kita masih boleh membayangkan seorang yang pernah mengikat perutnya
dengan batu bagi menahan kelaparan ketika berjihad. Baginda insan yang
pernah patah giginya oleh asakan dan tusukan senjata musuh. Kenangi
seorang insan yang pernah luka-luka dilontar dengan batu-batu, dilempari
najis dan bangkai, diperosok ke dalam duri dan lubang, akhirnya
dikepung untuk dibunuh… hanya kerana ingin menyampaikan iman dan Islam
buat manusia.
Kebaikan Rasulullah bukan sahaja dinikmati oleh generasi yang hidup
bersama-samanya, tetapi melampaui masa, zaman dan keadaan. Cinta Baginda
turut menyentuh hati kita.
Cinta tidak semestinya bertemu. Cinta tidak semestinya bersama.
Dimensi cinta ialah ukuran rasa, bukan oleh jarak yang jauh atau masa
yang panjang dan pendek. Cinta merombak batasan masa, jarak dan ruang.
Inilah insan yang sewajarnya dicintai. Insan yang tidak akan lega
tanpa dijanjikan keselamatan buat umatnya. Insan telah pergi menemui al-Rafiq al-A‘la
(Teman daerah tinggi iaitu Allah) tanpa mewariskan sebarang harta.
Bahkan menurut ahli sejarah, ketika itu lampu di rumahnya sudah
kehabisan minyak…
Itulah cinta Rasulullah. Itulah yang mesti ada ada dalam jiwa agar
kita berpeluang bersama-samanya di dalam syurga. Dan sewajar selalu
bertanya kepada hati sendiri, “Di mana Rasulullah di hati kita?”
Di mana Rasulullah di hati kita?
Mengapa semua ini melibatkan soal hati? Ya, kerana yang paling
berkuasa dalam diri manusia ialah hati. Imam al-Ghazali menegaskan
bahawa hati umpama raja yang paling berkuasa dalam diri manusia.
Pancaindera dan segala anggota badan bagaikan rakyat yang tunduk dan
patuh kepada perintah hati.
Hati adalah tempat cinta bertakhta. Cinta itu yang mengawal
hati. Jika seseorang mencintai sesuatu, seluruh tenaga, upaya dan fokus
dalam hidupnya akan ditumpukan kepada apa-apa yang dicintai.
Oleh kerana itu, kita perlu berhati-hati apabila mencintai dan
dicintai. Kita perlu berhati-hati memilih “siapa” dan “apa” yang hendak
kita cintai.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya: “Seseorang akan menjadi
hamba kepada apa-apa yang dicintainya.” (Riwayat al-Bukhari)
Syukur, jika hati mencintai Allah, kita akan menjadi hamba kepada
Allah dan seluruh hidup kita akan terfokus kepada iman dan Islam.
Alangkah ruginya jika di hati kita bertakhta kejahatan dan kemungkaran
kerana kita akan menjadi hamba kepada kejahatan dan kemungkaran itu.
Cinta Allah Segala Sumber
Hidup memang untuk cinta. Tetapi cinta kepada siapa? Jawabnya, cinta kepada Allah.
Firman Allah, maksudnya: “Orang yang beriman sangat cinta kepada
Allah. Kalaulah orang yang melakukan kezaliman mengetahui ketika mereka
melihat seksaan (pada hari kiamat) bahawa kekuatan itu semua kepunyaan
Allah dan amat berat seksaan-Nya (nescaya mereka menyesal).” (Surah al-Baqarah 2: 165)
Cinta kepada Allah sumber segala kekuatan, kekayaan, ketenangan dan kejayaan.
Manusia yang bercinta dengan Allah Yang Maha Kaya (al-Ghaniy), akan mendapat kekayaan jiwa yang tiada tandingan.
Manusia yang paling kuat ialah manusia yang mencintai Allah Yang Maha Perkasa (al-Qawiy).
Manusia yang jahil dan serba tidak tahu akan menjadi insan yang
bijaksana apabila berhubung cinta dengan Allah Yang Maha Mengetahui (al-‘Alim).
Manusia yang cinta kepada Allah punya kekuatan dan ketenangan untuk
menghadapi kehidupan. Hidup mereka tidak akan diganggu gugat oleh rasa
takut atau dukacita.
Firman Allah yang bermaksud: “Kebebasan yang diberikan kepadamu
(apabila diketahui oleh mereka) lebih dekat untuk mententeramkan hati
mereka, menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka
reda akan apa-apa yang engkau lakukan kepada mereka. Dan (ingatlah)
Allah sedia mengetahui setiap yang ada dalam hati kamu. Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Penyabar.” (Surah al-Ahzab 33: 51)
Jika kemanisan hidup yang kita cari, maka rasa cinta kepada Allah mestilah disemat dalam hati.
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai tiga
perkara padanya, dia telah mendapatkan kemanisan iman, iaitu Allah dan
Rasul-Nya lebih dicintai daripada selain kedua-duanya, serta mencintai
dan membenci seseorang semata-mata kerana Allah. Dia hendaklah benci
untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia membenci jika dicampakkan
ke dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ekspresi Cinta Sahabat kepada Allah
Cinta kepada Allah telah membentuk sahabat-sahabat Nabi s.a.w. berikut menjadi orang yang hebat:
Sahabat/Tabiin | Bukti Cinta |
Abu Bakar r.a. | Sanggup mengorbankan seluruh hartanya untuk Islam. |
Umar al-Khattab r.a. | Kurang tidur pada waktu malam hari kerana bimbang urusannya dengan Allah tidak selesai dan kurang tidur pada waktu siang kerana bimbang urusannya dengan manusia tidak selesai. |
Umar bin Abdul Aziz | Sangat amanah sehingga tidak sanggup mengambil sedikit pun harta negara untuk maslahat dirinya. |
Khalid al-Walid | Tidak terikat dengan jawatan apabila berkata: “Aku berjuang bukan kerana Umar (bahkan kerana Allah).” |
Mengapa Perlu Mencintai Rasulullah?
Begitulah kelebihan mencintai Allah. Hitam, putih, manis, pahit,
terang dan gelap – semuanya baik belaka jika sudah ada cinta. Namun
demikian, cinta kepada Allah tidak mungkin dicapai tanpa melalui cinta
Rasulullah s.a.w. Cinta Allah itu tujuan, cinta kepada Rasulullah pula
jalan. Tujuan tidak akan tercapai tanpa mengikut jalan.
Antara jalan menuju kejayaan adalah dengan “meniru” orang yang
berjaya sebagaimana yang turut dinyatakan oleh pakar motivasi dan
psikologi. Sebagai umat Islam, siapa lagi insan paling berjaya jika
tidak Rasulullah? Baginda mencapai kejayaan yang holistik sebagai
individu dan masyarakat di dunia dan akhirat.
Allah s.w.t. telah menegaskan hakikat ini melalui firman-Nya yang
bermaksud: “Pada diri Rasulullah buat kamu adalah suri teladan yang
baik.” (Surah al-Ahzab 33: 21)
Tanpa berdolak-dalih lagi, kita boleh merumuskan bahawa punca
kegagalan umat Islam kini kerana tidak menjadikan Rasulullah sebagai
teladan.
Berikut dihuraikan sebab kita perlu mencintai Rasulullah s.a.w.:
1. Jalan mencintai Allah
Allah sendiri telah menunjukkan bahawa jalan mencintai Allah adalah
dengan mencintai Rasulullah. Jalan itu wajib diikuti. Tidak ada manusia
yang mampu mencintai Allah mengikut jalannya tersendiri. Seperkara lagi,
kita mestilah mencintai segala-gala yang dicintai Allah. Ia meliputi
mencintai para rasul, nabi, malaikat, hamba-Nya yang soleh, amal soleh
dan akhlak mulia.
Tegasnya, cinta kepada Allah mewajibkan kita agar mencintai sesiapa
dan segala sesuatu yang dicintai-Nya. Insan yang paling dicintai oleh
Allah ialah Rasulullah s.a.w. Inilah syarat pertama dan utama untuk
meraih cinta Allah.
Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah melalui firman-Nya yang
bermaksud: “Katakan: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah
aku (Muhammad). Nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’
Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’” (Surah Ali ‘Imran 3: 31)
2. Rasulullah sangat dimuliakan Allah
Allah telah memilih Baginda sebagai manusia yang paling mulia dengan pengiktirafan berikut:
- Penghulu segala rasul.
- Menurunkan al-Quran kepadanya.
- Memuliakan dengan selawat.
- Menganugerahkan gelaran “Habibullah” (kekasih Allah).
Peri Rasulullah dimuliakan oleh Allah terpancar daripada firman-Nya
yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah dan malaikat-Nya berselawat atas
nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah atas nabi.” (Surah al-Ahzab 33: 56)
Bukan itu sahaja, malah Baginda dimartabatkan sebagai pemberi rahmat
bagi seluruh alam dan kelak Allah akan lebih memuliakannya dengan
memberikan syafa‘ah ‘uzma (pertolongan agung) pada hari kiamat.
Insya-Allah, orang yang memuliakan insan yang dimuliakan Allah
(Rasulullah) akan turut dimuliakan-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda,
maksudnya: “Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka aku akan
berselawat atasnya 10 kali.” (Riwayat al-Bukhari)
3. Rasulullah sangat mencintai kita
Rasulullah merupakan Nabi yang paling mencintai umatnya. Atas dasar
cinta itulah Baginda berjuang habis-habisan untuk menyampaikan ajaran
Islam – agama yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat. Belum
tentu orang yang kita cintai akan mencintai kita, tetapi Baginda memang
terbukti mencintai kita. Jika kita mencintai Rasulullah, kita tidak akan
bertepuk sebelah tangan… Cintailah Rasulullah, pasti cinta kita
berbalas.
Bukti cinta ialah pengorbanan. Semakin tinggi cinta, semakin banyak
pengorbanan. Lihatlah bagaimana Baginda telah menumpahkan keringat,
mengalirkan air mata, malah rela menyabung nyawa demi menyelamatkan umat
Islam daripada seksaan neraka?
Firman Allah, maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang
Rasul daripada kaummu sendiri. Terasa berat olehnya dengan
penderitaanmu, yang sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan)
bagimu, amat belas kasihan serta penyayang terhadap orang Mukmin.” (Surah al-Tawbah 9: 128)
Doa-doa yang diwariskan oleh Rasulullah kepada para sahabatnya dan
kemudian dipindahkan daripada satu generasi ke satu generasi juga bukti
cinta Rasulullah kepada umatnya. Jika kita merujuk kepada hadis-hadis
yang dinukilkan dalam pelbagai kitab, kita dapat melihat betapa banyak
khazanah doa yang diwariskan sebagai bukti kecintaan Baginda.
4. Jasa dan kebaikan Rasulullah yang melimpah
Budi dan jasa Rasulullah s.a.w. sangat luar biasa. Dakwah, nasihat,
didikan, bimbingan, doa dan kepimpinan Rasulullah tidak terhitung
nilainya. Baginda bukan sahaja bertungkus-lumus untuk menyelamatkan
manusia di dunia sahaja, malah akhirat. Baginda telah menyampaikan
berita (hari akhirat) sama ada yang menggembirakan (syurga) atau ancaman
yang menakutkan (neraka) sebagai peringatan.
Itulah perbezaan Rasulullah s.a.w. dengan pemimpin dunia yang lain.
Pemimpin biasa hanya berusaha menyelamatkan pengikutnya di dunia, tetapi
Rasulullah berusaha menyelamatkan umatnya daripada kesengsaraan di
dunia dan akhirat. Rasulullah s.a.w. bukan sahaja membersihkan dunia
daripada kejahatan, malah membersihkan hati manusia daripada dosa dan
kemungkaran.
Hati manusia yang dicemari syirik dan sifat mazmumah telah
dibersihkan dengan kehadiran Rasulullah s.a.w. Hasilnya, terbentuklah
generasi yang beriman.
Firman Allah, maksudnya: “Sesungguhnya, Allah memberi kurniaan kepada
orang yang beriman ketika Allah mengutus antara mereka seorang Rasul
daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat Allah kepada
mereka, membersihkan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka
al-Kitab dan al-hikmah. Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Ali ‘Imran 3: 164)
5. Keagungan akhlak Rasulullah
Setiap hati manusia akan jatuh cinta kepada orang yang mempunyai
akhlak yang baik. Akhlak yang baik disukai oleh setiap manusia tidak
kira agama, bangsa dan warna kulit. Ia nilai sejagat yang diakui oleh
semua manusia. Ini juga salah satu sebab kita perlu mencintai Rasulullah
s.a.w. kerana ketinggian dan keagungan akhlak Baginda.
Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak jatuh cinta kepada Rasulullah
s.a.w., itu petanda dia menolak fitrah manusia. Orang yang baik dan
ingin menjadi baik akan mencintai dan meneladani orang yang baik. Tidak
ada insan sebaik Nabi Muhammad s.a.w. Akhlak Baginda bukan sahaja dipuji
oleh kawan dan lawan, malah oleh Tuhan Yang Maha Pencinta.
Allah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya, kamu (Muhammad) benar-benar mempunyai budi pekerti yang agung.” (Surah al-Qalam 68: 4)
Tanda Mencintai Rasulullah
Sudahkah kita jatuh cinta kepada Rasulullah s.a.w.? Antara tanda
mencintai Baginda ialah banyak mengingat, menyebut, merindu dan
seterusnya ingin sekali bertemu. Maksudnya, cinta adalah satu perasaan
yang bersemi dalam hati, diluahkan dengan lidah dan dibuktikan dengan
tindakan dan pengorbanan.
Jika kita mengaku cintakan Rasulullah s.a.w., muhasabahlah sebanyak
mana kita berselawat kepada Baginda sehari semalam? Selawat itu tanda
ingatan. Setelah banyak mengingat dengan berselawat, tentulah rasa rindu
untuk bertemu semakin mendalam. Ya, cinta dan rindu sangat sinonim.
Cinta yang hebat akan mampu mendekatkan jarak waktu dan jurang
generasi. Inilah yang dialami oleh manusia yang hidup pada akhir zaman,
tetapi punya cinta yang mendalam kepada Rasulullah s.a.w.
Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Orang yang
paling aku cintai dalam kalangan umatku ialah orang sesudahku yang
sangat ingin melihat aku (walaupun dengan mengorbankan) keluarga dan
hartanya.” (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, orang yang bercinta mesti banyak mengingati sesiapa
yang dicintainya. Apabila hati mengingat, mulut akan banyak menyebut.
Apabila lidah banyak menyebut, hati akan berasa rindu. Apabila rindu,
pasti terasa ingin bertemu. Ya, begitulah sifir cinta kepada Rasulullah.
Bagaimana hendak bertemu dengan Rasulullah? Jawabnya, dengan mati dalam
keadaan sedang berjuang menegakkan sunnahnya dalam seluruh aspek
kehidupan!
Doa daripada Rasulullah
Lihatlah, betapa cinta Rasulullah s.a.w. apabila Baginda berkata kepada seorang sahabatnya; Mu‘az bin Jabal:
“Wahai Mu‘az, aku sangat mencintaimu. Selepas engkau menunaikan
solat, jangan sekali-kali engkau lupa untuk berdoa kepada Allah dengan
doa ini:
اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Bermaksud: ‘Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan memperbaiki ibadah kepada-Mu.’”
5 Jalan Utama Mencintai Rasulullah
Walau apa-apa pun keadaan, tidak ada pilihan lain buat kita melainkan
cuba sedaya upaya mencintai Rasulullah s.a.w. sepenuh hati. Keselamatan
kita di dunia dan akhirat bergantung kepada sejauh mana kita mencintai
Rasulullah s.a.w. Justeru, untuk mencapai cinta Allah, kita perlu
melalui terlebih dahulu jalan-jalan yang membawa cinta kepada
Rasulullah.
Seorang Arab Badwi bertemu Rasulullah s.a.w. lantas bertanya: “Bila berlaku kiamat?”
Rasulullah s.a.w. bertanya kembali kepadanya, mafhumnya: “Apa yang sudah kau sediakan untuk menghadapinya?”
Orang Arab Badwi tersebut menjawab: “Aku menyediakan hati yang sangat mencintai engkau, wahai Rasulullah.”
Rasulullah membalas: “Seseorang akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya di akhirat.”
Ketika mendengar jawapan Rasulullah itu, para sahabat Baginda sangat
gembira. Malah, ada daripada mereka yang merasakan hari tersebut
seolah-olah hari raya. Mereka merasakan dengan “bermodalkan” cinta,
mereka boleh dikurniakan syurga!
KAEDAH MENCINTAI RASULULLAH
Bagaimana hendak mencintai Rasulullah s.a.w.? Mencintai Rasulullah dapat dicapai melalui jalan-jalan berikut:
1. Mengenali Rasulullah
Kita perlu benar-benar mengenali Rasulullah melalui sirah dan sunnah
Baginda. Tidak cukup hanya mengetahui dengan akal, tetapi kita perlu
mengenali Baginda dengan hati, lalu cuba mempraktikkan segala sunnahnya
dalam realiti kehidupan.
Tanya kepada diri: “Jika Rasulullah bersama-samaku, bagaimanakah
rasa, kata dan tindakan kita ketika berdepan dengan suasana ini?”
Begitulah rasa hati yang seharusnya ada dalam hati kita sekiranya ingin
benar-benar mengenali Rasulullah s.a.w.
Akal — Tahu
Hati — Kenal
Mungkin telah banyak yang kita baca daripada sirah Rasulullah, tetapi
sejauh mana ia meresap ke dalam hati untuk dirasai? Dengan cuba
meneladani Baginda setiap masa, barulah kita diberi hidayah oleh Allah
untuk benar-benar mengenali dan seterusnya mencintai Rasulullah.
Untuk cinta, mesti kenal. “Tak kenal, maka tak cinta.” Apabila kita
mengenali Rasulullah s.a.w., barulah kita boleh mencintainya. Justeru,
tuntutan yang paling utama selepas mengenal Allah adalah dengan mengenal
Rasulullah.
Ironinya, bagaimana mungkin ibu bapa mampu mengenalkan dan menyemai
rasa cinta kepada Rasulullah kepada anak-anak jika diri mereka sendiri
pun belum mengenali dan mencintai Baginda?
Mengenali Rasulullah s.a.w. melibatkan dua dimensi, seperti berikut:
Dimensi | Contoh |
Lahiriah | Personaliti Rasulullah yang merangkumi nama, rupa fizikal, ahli keluarga dan lain-lain. |
Rohaniah | Aspek keyakinan, prinsip dan strategi perjuangan Rasulullah. |
Tidak memadai jika kita mencintai Rasulullah s.a.w. hanya kerana
jasad dan tubuh badan Baginda tanpa mengenali dan mencintai
perjuangannya. Abu Talib, bapa saudara Nabi sendiri sangat kuat
mempertahankan keselamatan nyawa Baginda. Malangnya, dia tidak mendapat
hidayah untuk menyakini iman dan Islam yang menjadi perjuangan Baginda.
Oleh sebab itu, mengenali Rasulullah s.a.w. tidak cukup sekadar
lahiriah. Kita mesti menyelami roh dan prinsip perjuangan Baginda.
Perkenalan tahap pertama (lahiriah), tidak akan menghasilkan cinta yang
sempurna.
Sekadar menghafal nama, mengetahui ahli keluarga dan mempunyai
maklumat elemen luaran Baginda bukan pengenalan yang hakiki. Mungkin ia
boleh menimbulkan minat, tetapi tidak akan membuahkan cinta. Pengenalan
yang menghasilkan cinta ialah perkenalan yang meresap ke hati, bukan
sekadar di kepala dan juga bukan sekadar hafalan, tetapi penghayatan.
Sedangkan cinta adalah soal hati dan rasa. Atas dasar itulah ramai
umat Islam yang belum mencintai walaupun sering mengaku mencintai. Dalam
hati cuma boleh menampung satu cinta. Jika cintakan dunia, manusia dan
lain-lain masih mendominasi hati, ertinya cinta kepada Rasulullah tidak
akan bersemi. Betapa jarang kita mengingati Rasulullah, apatah lagi
merindukan untuk berjumpa dengannya.
2. Mematuhi ajaran Rasulullah
Tanda cinta ialah patuh. Pepatah Arab menyatakan: “Seseorang akan
menjadi hamba kepada perkara yang dicintainya.” Seorang yang mencintai
Rasulullah akan menjadi hamba kepada Allah dengan mengikut sunnah
Rasulullah. Kepatuhan seseorang terhadap ajaran Rasulullah adalah bukti
yang paling kuat menunjukkan kebenaran cintanya. Tanpa mematuhi
ajarannya, dakwaan cinta itu adalah palsu.
Dalam konteks ini, al-Hasan al-Basri dan para salaf pernah
menyatakan: “Sesuatu kaum mendakwa bahawa mereka mencintai Allah, lalu
mereka diuji oleh Allah dengan menurunkan ayat 31 surah Ali ‘Imran yang
bermaksud: ‘Katakan: ‘Jika benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah
aku.’’
Setiap kali berarak, marhaban, bernasyid dan berselawat pada hari
keputeraan Rasulullah, sepatutnya peringatan daripada al-Hasan al-Basri
inilah yang lebih dititikberatkan.
3. Memuliakan dan menghormati Rasulullah
Kita dianggap memuliakan Rasulullah apabila membenarkan segala berita
yang dibawa oleh Baginda, mematuhi segala suruhan, menjauhi segala
larangan dan beribadah kepada Allah dengan cara yang ditunjukkannya.
Sesiapa yang tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, ini bererti dia
tidak lagi menghormati Rasulullah walaupun mulutnya mendakwa demikian.
“Love is a verb not a word – cinta itu tindakan, bukan
perkataan.” Seseorang yang tidak menegakkan sunnah Rasulullah s.a.w.
dalam kehidupan kerana kejahilan, kedegilan atau keangkuhan, maka secara
langsung atau tidak dia telah menghina Rasulullah. Bahkan, secara sedar
atau tidak, sikap itu boleh dikira sebagai meragui kejujuran, keadilan
dan kebenaran yang dibawa Baginda.
Pada akhir zaman, bukti mencintai Rasulullah s.a.w. adalah dengan
menegakkan sunnah Baginda, namun ia sangat sukar dilakukan seumpama
menggenggam bara api. Namun, orang yang cinta, “buta” kepada penderitaan
demi mendapat keredaan orang yang dicintainya, akan sanggup melakukan.
Ya, cinta itu buta. Begitulah jika kita mencintai Rasulullah, kita
sanggup menggenggam “bara api” tersebut dan mengamalkan sunnah Baginda
walaupun terpaksa menggigitnya dengan gigi geraham.
Inilah maksud sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya Islam bermula dengan keasingan dan akan kembali asing seperti permulaan. Berbahagialah orang yang asing.” (Riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya, di
belakang kalian ada hari-hari untuk orang yang bersabar seperti
memegang bara api. Mereka yang mengamalkan sunnah pada hari tersebut
akan mendapatkan pahala 50 kali daripada kalian yang mengamalkan amalan
tersebut.”
Para sahabat bertanya: “Mendapatkan pahala 50 kali daripada kita atau daripada mereka?”
Rasulullah menjawab: “Bahkan 50 kali pahala daripada kalian.” (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim)
Namun, kita mesti berwaspada pada tipu daya syaitan yang hendak
menyesatkan manusia. Bagi mereka yang tidak ingin memuliakan Rasulullah
s.a.w., syaitan meniupkan rasa enggan, berat dan angkuh untuk menegakkan
sunnah. Manakala, bagi yang sudah mempunyai dorongan untuk memuliakan
Baginda, syaitan akan mendorongnya secara keterlaluan hingga ke tahap
terlajak dan terlampau.
Hal ini diperingatkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w., maksudnya:
“Janganlah kamu keterlaluan menyanjung aku sebagaimana sanjungan yang
diberikan orang Nasrani terhadap Nabi Isa anak Maryam. Sesungguhnya aku
hamba-Nya, oleh sebab itu panggilan aku Abdullah (hamba Allah) dan
Rasulullah (pesuruh Allah).” (Riwayat al-Bukhari)
4. Mencintai keluarga, kaum kerabat dan sahabat Rasulullah
Sudah lumrah apabila kita mencintai seseorang, kita akan turut
mencintai semua orang yang dicintainya dan segala sesuatu yang membawa
kepada kecintaannya. Dalam konteks ini, Rasulullah s.a.w. telah mengajar
kita supaya berdoa dengan doa ini: “Ya Allah, berikan cinta-Mu
kepadaku, jadikan orang yang mencintai-Mu mencintaiku dan jadikan aku
mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu.”
Justeru, bukti cinta kita kepada Rasulullah s.a.w. adalah dengan
mencintai seluruh keluarganya (isteri, anak, cucu dan seterusnya) serta
para sahabat Baginda.
Jika ditanya, bagaimana? Jawapannya dengan menghormati para sahabat,
mengakui keutamaan ahli bait, memelihara kehormatan dan kedudukan mereka
serta benci kepada sesiapa yang menghina mereka. Kita tidak boleh
berdiam diri apabila para sahabat dan ahli bait dikecam oleh sesiapa
sahaja. Kita mestilah bertindak memberi penjelasan, penerangan dan
berhujah dengan cara ilmiah dan amaliah (perbuatan) bahawa mereka memiliki keutamaan dan keistimewaan yang khusus.
Hakikat ini dijelaskan dalam firman Allah, maksudnya: “Orang yang
terdahulu lagi yang pertama kali (masuk Islam) dalam kalangan Muhajirin,
Ansar dan orang yang mengikut mereka dengan baik. Allah meredai mereka
dan mereka pun reda kepada Allah. Dia menyediakan bagi mereka syurga
yang mengalir sungai di dalamnya, dan mereka kekal di dalamnya
selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah al-Tawbah 9: 100)
Ketika ada sahabat yang menyatakan kebimbangan dengan pelantikan
Usamah bin Zaid sebagai jeneral tentera Islam, Rasulullah s.a.w. telah
bersabda, maksudnya: “Jika kalian mencela kepimpinannya, maka kalian
juga mencela kepimpinan ayahnya sebelum ini. Demi Allah, dia (ayahnya)
sangat layak menduduki jawatan panglima dan dia salah seorang yang
paling aku cintai. Usamah adalah orang yang paling aku cintai sesudah
ayahnya.” (Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga rasa cinta yang diucapkan Baginda kepada cucunya iaitu
al-Hasan dan al-Husin sehinggakan Baginda mendoakan mereka dengan doa:
“Ya Allah, cintailah kedua-duanya kerana aku mencintai kedua-duanya.”
(Riwayat al-Bukhari)
Mengakui mencintai Rasulullah tetapi membenci sahabat-sahabat utama
Baginda adalah satu pendustaan. Padahal, keutamaan para sahabat dan
generasi awal Islam telah ditegaskan oleh Rasulullah sendiri melalui
sabdanya yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah (manusia yang hidup
dalam) kurunku, kemudian mereka yang mengikutinya (tabi) dan mereka yang mengikutinya (tabi tabiin).” (Riwayat al-Bukhari)
5. Mencintai ulama yang gigih berdakwah
Ulama ialah pewaris nabi. Merekalah golongan yang paling teguh
berpegang dengan sunnah dan gigih berdakwah menyebarkan Islam sejak
dahulu sehingga kini. Di bahu merekalah terletaknya amanah untuk
meneruskan perjuangan menegakkan Islam kepada umat setelah tidak akan
ada lagi nabi atau rasul yang akan diutuskan kepada umat manusia. Tidak
kira di mana-mana pun kedudukan kita sama ada sebagai umara atau umat,
ulama mesti diletakkan sebagai penasihat, murabbi bahkan pembimbing ke
jalan kebenaran.
Kita dituntut memuliakan ulama silam yang banyak berjasa dan menjaga
warisan ilmu dengan penuh iltizam, ikhlas dan profesional. Mereka
mewariskan kitab muktabar dan generasi ilmuwan yang meneruskan legasi
kecemerlangan sehingga pada zaman kini. Walaupun mungkin sebagai manusia
biasa, para ulama juga tidak terlepas daripada kekhilafan dan
kesilapan, namun itu bukan alasan untuk memandang rendah apatah lagi
mencerca mereka.
Alangkah baik sekiranya ada perbezaan sesama mereka (walau bagaimana
besar sekalipun perbezaan itu) kita menerima dengan berlapang dada dan
penuh adab.
Menghormati ulama silam sangat perlu berdasarkan ‘ibrah yang
dijelaskan oleh firman Allah, maksudnya: “Dan orang yang datang sesudah
mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa, maksudnya: ‘Wahai Tuhan
kami, berikan keampunan kepada kami dan saudara kami yang telah beriman
terlebih dahulu daripada kami. Janganlah Engkau membiarkan kedengkian
dalam hati kami terhadap orang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya
Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.’” (Surah al-Hashr 59: 10)
Mencintai Kerana Allah
Selepas mencintai Allah dan Rasul-Nya, kepada siapa lagi perlu kita
mencintai? Ya, kita boleh mencintai sesiapa dan apa-apa sahaja dengan
syarat diniatkan mencintai Allah. Mencintai Allah adalah sumber cinta
semua dan segala-galanya. Justeru, cintailah Allah…
Rasulullah mampu mencintai isteri, anak, cucu, menantu, sahabat malah
seluruh umatnya. Jika Rasulullah mencintai Mu‘az kerana Allah, maka
kita juga mesti mencintai orang lain kerana Allah. Mencintai seseorang
kerana Allah dan Rasul-Nya juga dikira mencintai Allah.
Namun, dalam apa-apa jua keadaan sekalipun, kecintaan kepada makhluk
tidak boleh melebihi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah yang
bermaksud:
“Jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan
yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugian dan tempat
tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan
Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga
Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk
kepada orang fasiq.” (Surah al-Tawbah 9: 24)
Umar al-Khattab berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah,
sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku
sendiri.”
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: “Tidak, demi Allah yang diriku
berada di tangan-Nya sehingga aku lebih dicintai daripada dirimu
sendiri.”
Umar r.a. berkata: “Sesungguhnya, demi Allah sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” (Riwayat al-Bukhari)
Adakah rasa hati kita telah merasai seperti yang pernah dirasai oleh
Sayidina Umar? Adakah Rasulullah s.a.w. lebih kita cintai daripada diri
kita sendiri?
Masya-Allah, semuanya masih jauh. Soalan “di mana Rasulullah di hati
kita?” adalah satu persoalan yang perlu dijawab dengan jujur oleh setiap
Muslim kerana kedudukan Rasulullah di hati kita adalah pengukur
kedudukan Allah di hati kita. Di mana Allah di hati kita juga menentukan
sejauh mana kebahagiaan, kejayaan, ketenangan, keselamatan dan
keharmonian hidup kita di dunia dan akhirat.